Sunday, 28 December 2014

Tugasan Berkumpulan - Pembiayaan MDeC


KEUSAHAWANAN TEKNOLOGI MAKLUMAT (UCSD2762)

TUGASAN BERKUMPULAN
Tugasan 4 – Pembiayaan Oleh MDeC


  PENSYARAH   : EN. NOR HASHIM BIN ABU SAMAH





Pengenalan

Multimedia Development Corporation (MDeC) ditubuhkan pada tahun 1996 bagi menerajui dasar, polisi dan piawaian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan multimedia serta memantau pembangunan Koridor Raya Multimedia atau kini lebih dikenali sebagai MSC Malaysia. MSC Malaysia merupakan asas bagi membantu perkembangan perusahaan kecil dan sederhana di dalam bidang Teknologi Maklumat selain menggalakkan pelaburan syarikat-syarikat global ICT bagi memajukan industri digital and kreatif di Malaysia.
Pada tahun 2011, 15 tahun selepas pelancaran MSC Malaysia, MDeC telah diberi mandat untuk memacu peralihan negara ke arah pembangunan ekonomi digital bagi mencapai visi 2020, melalui inisiatif Digital Malaysia, oleh Perdana Menteri Malaysia. Digital Malaysia secara rasminya telah dilancarkan pada tahun berikutnya iaitu pada 2012 sebagai program transformasi negara bagi mencapai matlamat tersebut.
Berasaskan tiga teras strategik, Digital Malaysia adalah perkembangan susulan dari landasan yang telah dibina pada awalnya untuk MSC Malaysia. Ianya akan menghasilkan pendapatan, meransang keberkesanan serta meningkatkan taraf hidup, melalui pelbagai inisiatif ICT yang akan mempertingkatan hubungan dan membantu kerajaan, para peniaga dan rakyat melalui ekosistem digital yang berteraskan permintaan.

Visi MDeC
 Pemimpin di era informasi
•           Membentuk persekitaran canggih yang bertaraf dunia
•           Menarik dan memajukan syarikat antarabangsa berteknologi canggih
•           Membantu pemindahan pengetahuan dan penghasilan pendapatan
•           Membangunkan organisasi berprestasi dan mempunyai nilai yang tinggi

Misi MDeC
Merealisasikan impian negara untuk menjadi hub global dan lokasi pilihan bagi industri ICT dan multimedia dalam bidang inovasi, perkhidmatan dan operasi.


Pembiayaan
ICON (Integrated Content Development)
Individu atau syarikat tempatan dipelawa memohon geran di bawah Program Pembangunan Isi Kandungan Bersepadu ICON3 di mana idea inovatif untuk dikembangkan menjadi aplikasi mudah alih berkelas dunia.
Secara purata, setiap pemohon yang layak boleh memohon dana antara RM100,000 hingga RM200,000, iaitu anggaran diperlukan untuk membangunkan sebuah aplikasi mudah alih. ICON ialah satu program mengenai pembangunan kapasiti serta pembinaan ekosistem untuk pembangun-pembangun tempatan memasuki pasaran aplikasi di peringkat rantau dan global.
Melalui program ini, MDeC memberi penekanan kepada keupayaan dan idea yang dimiliki oleh peserta ICON untuk dikembangkan melalui penyediaan tenaga pengajar dan peralatan bagi kegunaan mencipta aplikasi mudah alih tempatan. ICON berjaya memberikan impak penting kepada industri mudah alih tempatan apabila sebanyak 850 aplikasi dihasilkan dalam tempoh lima tahun dengan menjana pendapatan langsung bernilai RM440,000.
Untuk itu, MDeC juga menjalin kerjasama rapat dengan rakan-rakan kongsi industri dan pihak berkepentingan untuk melengkapkan pembangun-pembangun dengan pelbagai aspek merangkumi kemahiran teknikal, komunikasi, pendedahan pasaran, latihan perniagaan dan integrasi peranti sepanjang tempoh pembangunan aplikasi
Sejak diperkenalkan pada 2009, ICON sudah membantu kira-kira 1,600 pemaju tempatan mendapatkan set kemahiran serta teknikal yang diperlukan untuk meneroka industri yang dianggarkan berkembang sehingga RM464.75 bilion pada 2016. Daripada jumlah itu, separuh daripada peserta program ICON kini menjadi pemaju aplikasi mudah alih sepenuh masa.

IPCC (Intellectual Property Creators Challenge Series)
IPCC adalah satu platform yang disasarkan untuk meningkatkan bilangan syarikat dan individu tempatan mencipta harta intelek (IP) dengan membiayai syarikat-syarikat multimedia dan individu yang mempunyai bakat kreatif untuk idea-idea mereka di bawa ke tahap yang lebih tinggi. Pertandingan ini adalah terbuka untuk amatur dan profesional dari industri kreatif multimedia, yang membolehkan mereka untuk mengemukakan idea-idea dan kandungan kreatif yang kemudiannya memberikan mereka peluang untuk menerima pembiayaan bagi idea-idea tersebut.
Pada IPCC tahun 2013, 22 projek telah dianugerahkan geran merangkumi tiga kategori-animasi, permainan kasual, dan komik digital interaktif. Sejumlah hampir RM1 juta geran telah dikeluarkan untuk mengerakkan idea pemenang melepasi peringkat konsep dan ke platform di mana mereka boleh menghasilkan kandungan yang bertaraf dunia yang menggunakan unsur-unsur kepada sejarah, budaya dan sosial Malaysia yang kaya.
Manakala, pemenang pada IPCC ke-8 pada 2014 menerima geran berjumalah RM570,000. Penerima geran dalam setiap kategori juga akan menerima perundingan daripada syarikat-syarikat dan pemain industri yang akan terus membantu mereka mengubah idea mereka menjadi realiti. Selain itu, peserta akhir juga akan diberi akses kepada kemudahan MSC Malaysia Animation and Creative Content Centre (MAC3). 

MAC3 (Malaysia Animation and Creative Content Centre)
Bantuan di bawah inisiatif Pusat Isi Kandungan Kreatif MSC Malaysia (MAC3)  membolehkan syarikat berstatus MSC terpilih membabitkan diri secara langsung dalam penerbitan bersama rakan kongsi asing bagi menghasilkan produk animasi dan permainan digital berkualiti tinggi.
Ketua Eksekutif MDeC, Datuk Badlisham Ghazali, berkata pihaknya menyasar untuk membiayai 15 projek dalam bidang berkenaan dengan potensi untuk mewujudkan 600 pekerja bidang kreatif sepanjang tempoh pelaksanaan projek terbabit.
MDeC merancang untuk mengembangkan saiz dana berkenaan pada masa depan menerusi pelbagai model dan tidak hanya bergantung kepada mekanisme pembiayaan langsung kerajaan. Dana Penerbitan Bersama MAC3 akan membantu meningkatkan keupayaan dan daya saing syarikat tempatan dari segi teknologi serta tenaga kerja kerana mereka berpeluang bekerja bersama rakan kongsi asing berpengalaman dalam projek berkualiti tinggi
Pusat fizikal MAC3 di Cyberjaya dilancarkan pada November 2009 ini yang akan melonjakkan industri isi kandungan tempatan ke satu tahap lebih tinggi selepas ini. MAC3 dibina dengan peruntukan RM150 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), terbahagi kepada dua zon iaitu zon perniagaan yang mula beroperasi akhir Ogos 2009 dan zon pembelajaran siap sepenuhnya akhir 2010.